SANTRI KIRI

Santri yang diindetik dengan memakai sarung, baju koko dan peci dekil. Santri tidak saja belajar kitab kuning tetapi juga kitab putih. Walau santri berpenampilan kampungan tetapi juga belajar idelogi dunia dan filsafat. Walau tiap hari hanya makan nasi dengan lauk garam kadang puasa karena tidak punya makanan. Mandinya di sungai dengan sabun cuci karena sabun mandi tidak kebeli. Santri ini adalah santri kampung yang tidak mengenal gaya kota. Tapi otaknya tidak kampungan. Kawan santri semua, group ini tempatnya fardhu ‘ain untuk beda pendapat dan sepakat untuk tidak sepakat. TAPI SANTRI KIRI TIDAK ATEIS.

Islam dan Sosialisme; pertembungan atau keserasian.

Islam dan Sosialisme; pertembungan atau keserasian.

1.0 Pendahuluan.

Mengupas perihal ideologi dan pertembungan dengan fikrah Islam yang syumul merupakan antara materi perbahasan yang popular sejak era kebangkitan reformisme Islam era Muhammad Abduh, Jamaluddin Al Afghani dan era Rasyid Redha. Hal ini berterusan sehingga kebangkitan suatu era penentangan neo-jahiliyyah iaitu kegemilangan pemikiran Syed Qutb di Mesir. Ideologi yang berasal daripada barat serta mana-mana pemikiran yang bukan berasal daripada Al Quran dan Rasul akan dianggap sebagai jahiliyyah yang diperbaharui dan dianggap sebagai karat yang cuba untuk diberi nafas baru. Ideologi barat sebenarnya telah lama mencengkam pemikiran manusia dan merupakan antara rencah utama kolonialisme barat terhadap dunia Islam. Pemikiran tegas Syed Qutb yang dijelmakan dalam bukunya yang terkenal iaitu Petunjuk Sepanjang Jalan serta disambung pula oleh adiknya dengan buku Jahiliyyah abad ke-20, telah banyak membina paradigma para pejuang Islam seluruh dunia. Pemikiran yang menolak secara total kesemuan isme-isme yang berasal daripada barat ini adalah suatu langkah protektif yang berkesan. Dalam mana-mana seminar dan perbengkelan bagi gerakan dakwah sedunia, ideologi barat dijadikan antonim kepada fikrah Islam.

Penulis berminat untuk membaca perbahasan kepada sesuatu yang lebih kompleks dan mendalam terutama melibatkan hakikat ideologi dan institusi ideologi. Perlu diketahui perkataan ideologi adalah berasal daripada istilah Yunani yang diInggeriskan yang bermaksud pemikiran. Perkataan ini tiada kelainan dengan maksud sebenar fikrah. Dari segi terminologi popular ideologi kini pula, ideologi dianggap sebagai pemikiran yang diinstitusikan, digarap sehingga menjadi suatu blok pemikiran yang mempunyai tujuan khas, asing daripada pemikiran lain serta bukan berasal daripada mana-mana agama sekalipun. Ideologi kini adalah berasal daripada dielektik kehidupan masyarakat dan respon kepada pemikiran-pemikiran yang sebenarnya terhasil daripada tabiat manusia yang sukar dikawal.

Sosialisme adalah suatu ideologi yang terkenal diperingkat antarabangsa serta banyak mencatur serta mencorak halatuju negara-negara, persatuan, parti politik dan kelab-kelab sekerja. Sosialisme adalah antara tradisi pemikiran yang tidak pernah pudar dan malap sejak muncul selepas Revolusi Industri Inggeris sehinggalah kini. Rentetan daripada perkembangan pemikiran ini, gagasan praktis bagi sosialisme pula muncul iaitulah komunisme. Penulis tertarik untuk membawa pembaca menilai ideologi yang dikatakan sesat ini secara lebih adil dan saksama. Seperti pendapat Dr. Burhanuddin Al Helmi dalam ucapan Muktamar PAS 1957 bahawa ideologi adalah berasal secara tidak terancang. Ideologi kadangkala ada mempunyai kontroversi yang bukan dipinta oleh pengasasnya. Ideologi seperti komunisme adalah suatu yang berasal daripada penderitaan rakyat. Sebagaimana dunia tidak selesa mengadakan perang dunia ke-3 untuk menghapuskan komunis, begitulah juga pendapatnya, ketenteraan tidak akan berkesan dalam usaha Malaya membanteras komunis. Kekerasan yang berasal daripada pemikiran rakyat perlu ditangani dengan ketumbukan pemikiran rakyat juga. Sosial yang bermasalah merupakan sarang kepada wujudnya ideologi komunis, maka perlulah juga sosial itu diperbaiki secara adil dan ihsan. Dr. Burhanuddin melihat, Islam adalah suatu wadah yang terlalu syumul sehingga mampu bertoleransi, berkomunikasi, berinteraksi serta menjadi alternatif kepada semua ideologi tanpa perlu memiliki sifat kontra atau bertentangan untuk tujuan tersebut. Islam adalah agama sederhana yang meliputi kesemua keperluan manusia secara seimbang dan tidak terlalu melampau. Sikap terbuka dan berprinsip sebegini adalah suatu sikap yang perlu menjadi amalan dan disematkan dalam hati setiap pejuang Islam yang ingin memugar pemikiran massa kerana massa adalah abstrak.

2.0 Makna Sosialisme

Pada permulaan, penulis akan memberi penjelasan awal mengenai sosialisme yang dipopularkan oleh pemikir barat seperti Robert Owen dan sebagainya. Perkataan sosialisme adalah berasal daripada perkataan latin Socius yang bermaksud teman, kawan atau sahabat.Jelas disini aspirasi sosialisme adalah berasal daripada tabiat mahabbah, sikap cintakan persekeliling, bermesyuarat serta sikap toleransi kepada masyarakat. Fahaman ini amat bertentangan dengan sikap individualisme yang mementingkan diri semata-mata.

Meskipun gerakan sosialis pada mulanya selalu timbul kerana kerosakan masyarakat yang terjadi pada tiap-tiap zaman, namun benih pergerakan tersebut juga tumbuh berkat siraman suatu cita-cita falsafah, dan terutama sekali menjadi subur kerana mendapat siraman dari hakikat keagamaan yang mendalam.

Tetapi secara perlahan-lahan, kebajikan dan unsur agama yang terdapat pada rakyat lapisan bawah mulai lemah. Secara perlahan-lahan, gerakan rakyat yang bersifat sosialis semakin lama, semakin kuat bersandar kepada kebendaan belaka, terutama sekali di negara-negara barat.

3.0 Sosialisme, suatu tabii.

Dalam pelbagai tulisan Syed Hussein Al Attas dan tulisan-tulisan Dr Burhanuddin Al Helmi, perspektif berkenaan sosialisme dilihat secara lebih terbuka dan dilihat akan asal usul bagi aliran pemikiran ini. Kemungkinan akan ada yang berhujjah mengatakan bahawa sememangnya kedua tokoh ini adalah penggerak fahaman sosialis yang Islamik. Sememangnya terdapat aliran pemikiran Islam-sosialis. Namun begitu tujuan tulisan ini disusun adalah untuk membawa suatu lagi pandangan pada sisi yang lebih adil iaitu di dalam Islam ada unsur sosialisme dan bukan berjuan menjulang sosialisme tajaan barat tersebut.

Apabila mengkaji ideologi, kita perlu memahami bahawa kehadiran ideologi adalah berasal daripada respon terhadap persekitaran, dielektik bagi aliran pemikiran yang sedia ada serta sikap ingin merenovasi bagi ideologi yang sedia ada. Ini adalah beberapa faktor munculnya ideologi. Bagi ideologi sosialis, fahaman ini sebenarnya telah ada dalam tabii manusia. Respon kepada tekanan dan penindasan yang dilakukan terhadap golongan proletar sekitar Revolusi Industri Eropah menyebabkan hadir sebegitu ramai manusia yang cuba menjulang suatu ciri kemanusiaan iaitu rasa toleransi dan bertimbangrasa kepada golongan pekerja.

Tabiiat atau fitrah manusia sebenarnya terkandung sikap dan rasa kasih dan sayang, toleransi, tolong-menolong serta rasa tanggungjawab terhadap sekeliling. Hal ini lebih awal wujud dalam diri manusia sebelum hadirnya teori-teori sosiologi dan teori kemanusiaan yang lain. Rasa tanggungjawab dan sikap prihatin ini kita namakan sebagai sikap sosialisme. Fitrah ini penulis andaikan sebagai pepasir yang bertaburan. Diantara pasir-pasir itu ada yang berwarna hitam dan ada yang bewarna putih. Sikap tanggungjawab terhadap masyarakat yang baik dan tulus kita umpamakan sebagai pasir putih. Manakala sikap prihatin kepada sesuatu ras, sesuatu kasta atau lapisan masyarakat dengan diberati dengan sikap melampau dan ekstrim kita namakan sebagai pasir yang hitam. Sikap prihatin dan tanggungjawab yang baik ini atau pun pasir putih ini sebenarnya adalah sosialisme yang ada dalam Islam. Manakala sikap di dalam ideologi sosialisme barat pula mungkin mengandungi pasir putih dan turut sama mengandungi pasir yang hitam. Inilah perbezaan ideologi barat dengan fitrah sosialisme yang ada dalam Islam.

Sikap responsif kepada tekanan kapitalis dan tekanan aristokrat kepada golongan pekerja menghasilkan suatu fahaman yang sebenarnya hadir secara semulajadi yang dinamakan sebagai sosialisme. Pemikiran ini terbatas kepada pembelaan kepada kaum pekerja sahaja dan kaum wanita yang tertindas. Fahaman ini akhirnya menjadi suatu blok pemikiran yang tidak bercampur gaul dengan pemikiran awal iaitu perniagaan yang bebas dan berasaskan kepada keuntungan dengan meminimakan modal. Pemikiran ini dijulang dan menjadi suatu institusi yang akhirnya dijelmakan dalam parti politik, kesatuan sekerja dan persatuan buruh sedunia. Inilah asal usul kejadian bagi ideologi sosialisme barat.

Penolakan semberono teori yang mendakwa bahawa di dalam Islam mengandungi unsur sosialis disanggah oleh Syed Hussein Al Attas melalui pelbagai perumpamaan. Antaranya beliau menyanggah sikap sesetangah pihak yang menolak unsur sosialisme hanya kerana perkataan itu dipopularkan oleh golongan barat serta atheis. Antara hujah yang selalu kedengaran adalah dikatakan bahawa penolakan itu wajar memandangkan pendokong sosialisme dan komunisme adalah golongan yang anti-tuhan. Perlu ditegaskan bahawa, ciri-ciri sosialisme yang ingin dibahaskan disini dan bukannya ingin mengaitkan ideologi sosialisme yang diinstitusikan oleh barat dengan Islam yang syumul. Ironinya, golongan yang menolak unsur sosialisme juga menerima fahaman demokrasi dalam perjuangan. Bukankah pengasas demokrasi sendiri adalah golongan pemikir Yunani yang semestinya tidak bertauhidkan Allah SWT? Adakah kita berkiblatkan Yunani dalam isu demokrasi. Sebenarnya unsur kebebasan memilih, hak bersuara dan hak berpolitik dijamin oleh Islam melalui aspirasi demokrasi yang sebenarnya juga fitrah kemanusiaan. Hal ini sama sepertimana unsur sosialistik yang ada dalam jiwa manusia dan syariat yang diberikan kepada mereka sendiri.

Adapun disini, tulisan ini berhasrat untuk membuka minda pembaca terhadap asal usul ideologi, serta menyarankan suatu sikap berhati-hati serta menilai ideologi yang sebenarnya ada di dalam fitrah manusia dan juga terkandung di dalam agama kita. Namun begitu, jangan pula menganggap agama kita tercemar dengan karat-karat ideologi barat yang jahil tersebut. Ideologi barat telah banyak menghancurkan sistem kemanusiaan dan sistem kekeluargaan samaada kapitalisme atau sosialisme barat. Sebelum terjadinya Revolusi Industri, Barat menjalani kehidupan sederhana sebagai petani. Pada zaman itu, keluarga merupakan pusat kasih sayang dan kesetiaan. Kaum lelakinya pergi ke ladang untuk bekerja dan mencari rezeki. Sementara kaum perempuannya mendidik, memelihara, dan memperhatikan anak-anak mereka. Lingkaran kekeluargaan mengikat kehidupan semua anggotanya.

Kemudian Revolusi Industri terjadi dan industri memerlukan buruh. Salah satu akibat dari keperluan ini ialah pemisahan lelaki, wanita, dan anak-anak ke dalam pusat industri, pusat pemerintahan, rumah-rumah komersial, dan institusi besar yang lain. Kota-kota kecil dibangun dengan tujuan untuk memuaskan selera kenyamanan lahiriah dan kemewahan kebendaan. Populasi Inggeris di abad 17 dan 18 mengalami lonjakan pesat. Selain itu, dengan lancarnya jalur pelayaran ke Asia dan Afrika, mengalirlah kekayaan hasil eksploitasi kedua benua tadi. Hal ini menciptakan golongan baru, di luar kelas tradisional seperti gereja dan bangsawan, yang mempunyai kapital (modal) besar. Modal tenaga kerja dan kapital ini ditambah dengan ditambah dengan berbagai penemuan, seperti mesin wap, mendorong tumbuhnya berbagai industri baru.

Revolusi industri inilah yang menjadi sebab berkembangnya liberalisme ekonomi. Idea Adam Smith tentang pembagian kerja dan pengkhususan untuk mengoptimalkan produksi diterapkan di berbagai fabrik dan industri. Bahan dan hasil industri diperdagangkan di pasar bebas dengan seminimal mungkin campur tangan pemerintah (invisible hand), dan didasarkan atas asas ‘comparative advantage’. Disinilah bermulanya kehadiran ideologi sosialisme barat yang memugar fitrah kemanusiaan dan semestinya bercanggah dengan agama Islam.

4.0 Islam dan sosialisme

Apabila disebut di dalam Islam adanya unsur sosialisme atau tanggungjawab sosial, maka perlu kita huraikan dahulu apakah maksud sebenar Islam serta apakah perkara yang tercangkup di dalam Islam itu sendiri. Islam terdiri daripada Syariat, Syariat pula wujud dengan adanya Al Quran (saranan daripada Allah) serta Sunnah (iaitu saranan dan contoh daripada Rasulullah). Selain daripada syariat yang tetap, Islam juga mengandungi Fiqh iaitu kefahaman terhadap syariat yang tetap tersebut. Kefahaman ini adalah hasil daripada ijtihad para sahabat, ulama’ serta fatwa semasa. Inilah Islam yang ditaarifkan.

Di antara bukti Islam mempunyai unsur sosialistik ialah Islam menekankan konsep:

· Kemerdekaan manusia

· Kebebasan bersuara

· Sikap dermawan dalam hal sedekah dan zakat.

· Persaudaraan Islam tanpa mengira ras.

· Sikap keuntungan yang diagihkan kepada setiap manusia melalui sistem ekonomi Islam yang adil.

Di antara unsur-unsur sosialisme dalam sesebuah negara Islam adalah:

· Negara yang mementingkan produk untuk kegunaan rakyat terlebih dahulu tyertama pakaian dan makanan yang asasi.

· Negara membenarkan pemilikan syarikat tetapi menatau keuntungan dan cara perniagaan agar tiada unsur kezaliman serta menegaskan perihal zakat.

· Pengeluaran barangan dan pengedarannya dilaksanakan secara saksama.

· Setiap warga negara yang sihat wajib bekerja dan tiada subsidi hayat bagi yang tidak berusaha. Disini saranan berdikari yang diterapkan oleh Rasulullah perlu dipraktikkan.

· Segala kajian sains, kesenian, kebudayaan, norma kehidupan dan sistem pendidikan perlulah digarapkan agar tidak menbghasilkan masyarakat yang lesu serta tidak berkebolehan. Sebaliknya pembinaan manusia yang produktif, progresif dan berpotensi amatlah perlu. Rasulullah sendiri cintakan golongan yang sihat dan kuat dikalangan sahabatnya.

· Segala ketidakadilan dan kezaliman perlu diadili secara saksama tanpa mengira ras.

4.1 Unsur sosialisme dalam Al Quran

Penulis cuba untuk memberi sedikit contoh berkenaan saranan tanggungjawab sosial dan sikap kebersamaan yang tersinar daripada ayat Al Quran sendiri.

Firman Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim” (Al Hujurat : 11)

Firman Allah lagi,

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)” (Al Hujurat : 13)

Amat jelas untuk diperhatikan disini betapa kejadian bangsa-bangsa dan suku bukanlah bertujuan untuk berpuak-puak, mementingkan kaum masing-masing atau pun ingin menindas kaum yang lemah, sebaliknya nilai perbezaan yang berubah dan berlainan disebabkan geografi dan pengaruh iklim tersebut hanya sebagai punca untuk manusia menghargai antara satu sama lain. Di sini Allah menyanggah teori class-struggle yang diasaskan oleh Marx sendiri.

4.2 Rasulullah sebagai tokoh kesejahteraan masyarakat yang sejati.

Sebelum hadirnya Islam, keadaan masyarakat arab terlalu teruk dan menyedihkan. Unsur individualisme, assobiyyah, rasisme serta obses kepada keturunan telah menjadi lumrah mereka. Sebagai contoh, meminum minuman keras, menzinai isteri orang lain serta bermain judi sehingga ada unsur penindasan adalah perkara biasa. Seorang lelaki boleh berkahwin dengan seorang anak yatim semata-mata untuk mendapatkan harta peninggalan ibu-bapanya. Sekiranya harta telah habis, isteri akan diceraikan atau dijual sebagai hamba. Seorang isteri yang telah diceraikan tidak boleh berkahwin lain kerana ianya adalah keaiban bagi si isteri. Hamba sahaya pula diperlakukan seperti binatang dan tiada langsung hak kemanusian yang diberikan selain secebis pakaian dan sedikit makanan. Akhirnya hadirlah Muhammad SAW sebagi tokoh sosial yang terbaik sepanjang zaman. Baginda membenteras kesemua kerosakan ini secara bersistem dan tersusun, secara berhati-hati dan mengikut peringkat-peringkat tertentu. Sikap saintis baginda dalam bidang sosiologi ini terserlah dengan kejayaan baginda menghapus penzinaan, arak, judi, perhambaan dan kejahilan ilmu secara halus dan tidak menimbulkan kerosakan sosial. Hal ini adalah kerana baginda menekankan tentang iman dan ketaqwaan sebelum baginda menghukum atau memberi arahan yang tegas.

Sebenarnya sikap ini jauh berbeza dengan kehadiran ideologi sosialisme barat. Kegopohan, kegilaan dan sikap ingin cepat mencapai matlamat, menjadikan usaha pertempuran blok sosialisme dengan blog kapitalisme menjadi sengit dan mengorbankan jiwa. Perlu diingatkan perbahasan dan perjuangan blog sosialisme barat adalah berasaskan kepada basis ekonomi. Segala percaturan manusia, perencanaan sosial dan perjuangan adalah berasaskan ekonomi dan materialsme. Hal ini berlainan dnegan unsur sosialisme yang dibawa oleh Baginda SAW. Baginda menekankan hubungan vertikal dengan tuhan yang kukuh sebelum memasuki jarum halus berkenaan hubungan baik secara horizontal sesama manusia. Inilah bezanya manhaj Rasulullah dengan ideologi fahaman manusia.

4.3 Sahabat, penerus agenda sosialisme yang adil.

Rasulullah meninggalkan pewarisnya yang semestinya memiliki hampir keseluruhan budi pekerti Nabi SAW. Status khalifah dan pemimpin tertinggi umat Islam menyebabkan para Sabahat baginda berjaya mempraktikkan nilai tanggungjawab sosial yang sebenar dan bukan sekadar berbentuk teori semata-mata. Jika dikatakan perjuangan sosialisme barat menekankan perihal anti rasuah, anti korupsi, anti nepotisme, sahabat-sahabat juga menunjukkan usaha yang sama dalam agenda utama pemerintahan mereka. Sepertimana kata-kata Saidina Abu Bakar RA sebaik sahaja beliau menjadi Khalifah,

” Lihatlah kami memikul beban yang berat sebagai kewajipan seorang pemimpin. Kami bukanlah orang yang paling utama diantara kamu. Sangat perlu kami mendapat nasihat dan batuan dari kamu semua. Apabila kami berbuat kebaikan,bantulah kami. Apabila kami tersesat, berilah ingatan kepada kami. Berkatalah yang sebenarnya kepada seseorang yang diserahi kekuasaan pemerintahan itulah ertinya kesetiaan, tidak berbuat demikian bererti khianat. Dalam pandangan kami, orang yang kuat adalah sama dengan yang lemah. Kepada keduanya kami hendak memberikan keadilan”.

Dalam ucapan ini jelas sikap keadilan tanpa memilih ras dan tahap kekayaan sebagai keutamaan. Hal ini sebenarnya sama seperti aspirasi Al Quran berkenaan layanan yang sama perlu diberikan kepada semua rakyat dan keturunan pemerintah sekalipun. Hal ini sedikit tercarik apabila Yazid memulakan pemerintahan yang berasaskan pewarisan takhta dan mula memasukkan semula unsur nepotisme dan kronisme yang terserap daripada tamadun Parsi, Rom dan Arab yang belum memeluk Islam.

5.0 Bagaimana sosialisme wujud dalam Islam, serta bagaimana ianya befungsi?

Sosialisme Islam sebenarnya tertanam di dalam keimanan dan kepercayaan Islam itu sendiri. Sikap tanggungjawab, berhati mulia dan toleransi dalam Islam semestinya tidak berasal daripada pengaruh materialistik, habuan duniawi dan pangkat. Sikap ini sebenarnya hadir secara ikhlas apabila keimanan terpasak kukuh dalam jiwa para muslim.

Dunia digemparkan apabila pada 27 April 1941, Sir Winston Churcill membuat kenyataan kepada Amerika Syarikat untuk memohon bantuan tambahan demi menghadapi serangan bertubi-tubi daripada pihak Nazi Jermen. Beliau menyatakan,

” But in the long run believe me, for as I know the action of the United States will, be dictated, not by methodical calculation of the profit and loss, but by moral sentiment, and by that gleaming flash of resolve which lifts the hearts of men and nations from the spiritual foundation of human life itself”.

Permohonan beliau dibalas dengan invois yang mengandungi faedah dan riba yang terlalu tinggi untuk dijelaskan oleh negara seperti Britain yang sedang berusaha mempertahankan empayarnya seluruh dunia. Unsur kapitalisme sebenarnya telah lama merobek kasih sayang, ihsan dan prihatin dan hanya meninggalkan sikap prejudis, pentingkan diri serta sikap persaingan yang menindas orang lain.

Ini jelas berbeza dengan Islam yang menanamkan jiwa bantuan, simpati dan toleransi terutama yang melibatkan nyawa dan harga diri. Unsur kapitalis telah merungkai ini semua. Islam yang tertanam unsur sosialistik dalam kerangkanya telah banyak mengubah tamadun manusia yang awalnya berunsur kebinatangan atau undang-undang rimba kepada masyarakat beradab.

Sebenarnya sikap sosialistik dalam Islam ini boleh menghasilkan tindakan yang lebih jauh dan progressif. Kuasa keimanan ini boleh menjadi suatu tenaga terpendam yang akhirnya memacu revolusi kemajuan tanpa melibatkan penindasan. “Iman yang dinamik” ini akan menghasilkan peribadi yang mantap, mental yang seimbang, jiwa yang lembut serta spiritual yang berkaliber. Inilah fungsi iman di dalam hati manusia. Iman boleh menghasilkan tindakan yang produktif dan tidak seperti perspektif sesetengah pihak yang menganggap iman sebagai suatu yang landai, tunduk kebawah serta sekadar cukup apa yang ada sehingga menafikan nilai madani dalam kemasyarakatan.

6.0 Islam adalah imperialis?

Saidina Umar telah membina suatu negara Islam yang besar dan penuh dengan dasar-dasar keadilan dan kesejahteraan. Beliau sebenarnya telah memasukkan unsur demokarsi dan sosialisme dalam pemerintahannya sehingga beliau dikenali dengan sikap dermawan, perihatin kepada kesusahan rakyat, tawadhuk, sederhana serta bersikap terbuka dalam menerima pendapat. Sikap beliau amat berlainan sebelum beliau menjadi pemerintah dengan selepas menjadi pemerintah umat Islam.

Imperialis adalah suatu kemuncak kepada ideologi kapitalisme. Perusahaan yang meningkat memerlukan mereka mencari tapak baru untuk meluaskan pasaran mereka. Dalm hal ini, pada awalnya golongan sosialis dan komunis menentang imperialis. Sikap mereka berubah selepas beberapa siri revolusi komunis dan sosialis mula mendapat tempat di kalangan golongan marhain dan proletar. Namun begitu harus diketahui bahawa, aktiviti membuka dan membebaskan negara-negara yang bersistemkan perhambaan kepada manusia kepada perhambaan kepada tuhan yang satu bukan termasuk ke dalam kategori penjajahan sepertimana fahaman barat. Imperialis Islam tidak samasekali berasaskan kepada kebendaan dan perluasan tanah semata-mata. Hal ini mungkin berlainan dengan pemerintah Islam Mughal, Andalusia atau Abbasiyyah yang mungkin ada yang mula melupakan asas yang ditinggalkan oleh para Sahabat Ajmain yang berhati mulia. Kesimpulannya perlu diketahui, unsur sosialisme atau tanggungjawab sosial dalam Islam tidak memancarkan usaha untuk memeras tanah dan negara orang lain. Sebaliknya perluasan pada zaman sahabat adalah merupakan salah satu method untuk berdakwah dan melebarkan sayap lindungan wahyu Ilahi semata-mata.

7.0 Penutup.

Memerhatikan perkembangan ideologi adalah suatu aktiviti yang perlu dilakukan oleh para penggerak Islam. Menilai sesuatu perkembangan blok pemikiran secara wewenang akan menyukarkan kita menerap intipati Islam itu sendiri. Hakikatnya manusia adalah abstrak dan memerlukan sesuatu yang seni untuk menanganinya. Seni melihat sesuatu isu dari asal-usulnya, seni membawa mesej dalam nilai homofili yang terdekat dengan blok lain serta tindakan berperingkat yang perlu diamalkan oleh kita.

Rujukan ;

1) Islam dan Sosialisme; Burhanuddin Al Helmy,Syed Hussein Al Attas, Suroosh Irfani, H.O.S. Tjokroaminoto.1988.Petaling Jaya.

2) Principle and philosophy Of Democratic Socialism in Islam; Inamul Haq.1966.Karachi

3) Islam And Socialism; Mirza mohammad Hussain.1947.Lahore

4) Asas-asas Antropologi; Abdullah Taib.1985.Kuala Lumpur.

Oleh:

Muhammad Nuruddin Bin Bashah
Kejuruteraan Bahan
Universiti Malaya

Iklan

Tinggalkan Balasan

Please log in using one of these methods to post your comment:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

 
%d blogger menyukai ini: